Tuesday, April 15, 2008

03 - PENJELASAN TENTANG WADI DAN SUNNAH

PENJELASAN TENTANG WADI DAN MAZI

Wadi: Wadi adalah cecair pekat yang biasanya keluar setelah seseorang selesai dari buang air kecil (kencing). Wadi ini dihukum najis dan harus disucikan seperti halnya kencing, akan tetapi tidak diwajibkan mandi.[1]

Mazi: Mazi adalah cecair yang bening dan pekat yang keluar dari zakar atau faraj ketika bercumbu atau ketika nafsu syahwat. Hal ini sama-sama dialami oleh lelaki dan juga wanita, akan tetapi pada wanita jumlahnya lebih banyak. Menurut kesepakatan para ulama, mazi ini dihukum najis. Apabila mazi ini mengenai badan maka wajib dibersihkan dan apabila mengenai pakaian maka cukup sekadar menyiramkan air pada bahagian yang terkena mazi. Mengenai hal ini terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya. Aisyah radiallahu ‘anha mengatakan:

وَأَمَّا الْوَدِي فَاِنَّهُ يَكُوْنُ بَعْدَ الْبَوْلِ فَيَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَأُثْنَيَيْهِ وَيَتَوَضَّأَ وَلاَ يَغْتَسِلُ.

“Wadi itu keluar setelah proses kencing selesai. Untuk itu hendaklah seseorang muslim (dan muslimah)mencuci kemaluannya (setelah keluarnya wadi) dan berwuduk serta tidak diwajibkan mandi junub”. [2]


عَنِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : اَلْمَنِيُّ وَالْوَدِى وَالْمَذِي ، اَمَّا الْمَنِيُّ فِفِيْهِ الْغُسْلُ وَاَمَّا الْمَذِيْ وَالْوَدِيْ فَفِيْهَمَا اِسْبَاغُ الطُّهَوْرِ.

“Tentang mani, wadi dan mazi. Adapun mengenai mani maka diwajibkan mandi kerananya. Sedangkan mengenai mazi dan wadi maka cukup dengan membersihkan secara sempurna”.[3]


وَأَمَّا الْوَدِيْ وَالْمَذِيْ فَقَالَ : اِغْسِلْ ذَكَرَكَ ، أَوْ مَذَاكِيْرَكَ وَتَوَضَّأَ وُضُوْءَ كَ فِى الصَّلاَةِ.

“Mengenai wadi dan mazi, Rasulullah bersabda: Basuhlah kemaluanmu atau tempat kemaluanmu dan berwuduklah seperti pada saat hendak melaksanakan solat”.[4]


Oleh yang demikian maka keluar wadi atau mazi dihukum najis dan membatalkan wuduk. Wajib dibasuh zakar atau faraj dan pakaian yang terkena wadi atau mazi tetapi tidak diwajibkan mandi junub (mandi hadas besar) jika terkeluar wadi dan mazi sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis yang lalu dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ : كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : فِى الْمَذْيِ الْوُضُوْءُ وَفِى الْمَنِيِّ الْغُسْلُ
“Dari Ali berkata: Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian ia bersabda: Dalam mazi itu berwuduk dan dalam mani itu wajib mandi.[5]


وَلاَحْمَد فَقَالَ : اِذَا حَذَفْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ مِنَ الْجَنَابَةِ وَاِذَا لَمْ تَكُنْ حَاذِفًا فَلاَ تَغْتَسِلْ.

“Dan dari Ahmad. Lalu baginda bersabda: Kalau engkau mengeluarkan mani maka mandilah kerana telah berjunub dan apabila engkau tidak mengeluarkan mani maka janganlah mandi”.[6]


Ibnu Ruslan berkata: Kaum Muslimin telah ijmak atas wajibnya mandi junub (mandi hadas) bagi lelaki dan perempuan disebabkan keluar air mani atau mengeluarkan air mani.[7]



--------------------------------------------------------------------



[1] . Lihat: Fiqh Wanita. Hlm. 19. Syeikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah.
[2] . H/R Ibnu al-Munzir.
[3] . H/R Al-Baihaqi dan Al-Athram.
[4] . H/R Baihaqi.
[5] . H/R Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi dan disahihkan oleh Tirmizi.
[6] . H/R Ahmad.
[7] . Lihat: Nailul Autar.1/191. Asy-Syaukani.