Tuesday, April 15, 2008

04 - WAJIB MANDI KERANA PERSETUBUHAN


KEDUA


Wajib Mandi Kerana Persetubuhan

Menurut Imam An-Nawawi bahawa: Telah disepakati atas wajibnya mandi junub (bagi suami dan isteri) apabila hasyafah (kepala zakar lelaki) telah masuk ke dalam faraj walaupun tidak mengeluarkan air mani. Inilah pendapat dari ijmak. Keterangan ini dapat difahami dari hadis-hadis sahih yang berikut:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : اِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا اْلأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْغُسْلُ.

“Dari Abu Hurairah, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk antara empat anggota perempuan kemudian ia bersungguh-sungguh maka ia wajib mandi (junub)”.[1]


اِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا اْلأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْغُسْلُ وَاِنْ لَمْ يُنْزِلْ.

“Apabila salah seorang kamu duduk antara empat anggota perempuan (bersetubuh) kemudian ia bersungguh-sungguh maka wajib baginya mandi (junub) meskipun tidak mengeluarkan air mani”.[2]


Dari Abdullah bin Amr bin Ash:

“Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) itu telah masuk maka telah diwajibkan mandi (mandi junub)”.[3]


Para ulama telah sepakat sebagaimana yang telah disyariatkan bahawa seandainya seorang lelaki meletakkan kemaluannya di atas kemaluan perempuan, padahal ia tidak memasukkannya maka tidak seorang pun antara keduanya diwajibkan mandi.[4]


وَعَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِذَا قَعَدَ بَيْنَ شُعَبِهَااْلأَرْبَعِ ثُمَّ مَسَّ الْخِتَانُ الْخِتَانَ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ.

“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk di antara empat anggota perempuan kemudian benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) bertemu benda yang dikhatan (kemaluan perempuan), maka telah diwajibkan mandi (junub)”.[5]


اِذَا جَاوَزَ الْخِتَانُ الْخِتَانَ وَجَبَ الْغُسْلُ


“Apabila benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) telah masuk ke dalam benda yang di khatan (kemaluan perempuan) maka telah diwajibkan mandi”.[6]


وَعَنْ أُبَيِّ بْنِ كَعَبٍ قَالَ : اِنَّ الْفُتْيَا الَّتِيْ كَانُوْا يَقُوْلُوْنَ : اَلْمَاءُ مِنَ الْمَاءِ . رُخْصَةٌ كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَخَّصَ بِهَا فَى اَوَّلِ اْلإِسْلاَمِ ، ثُمَّ أَمَرَنَا بِاْلاِغْتِسَالِ بَعْدَهَا.

“Dari Ubai bin Ka’ab ia berkata: Sesungguhnya anak-anak muda itu pernah berkata: Air (mandi junub) itu kerana air (kerana keluar air mani), adalah keringanan (tidak wajib mandi) dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam diberikan pada permulaan Islam, kemudian ia memerintahkan kami agar mandi (junub) sesudah itu”.[7]


وَفِى لَفْظِ التِرْمِزِيْ : اِنَّمَا كَانَ الْمَاءُ مِنَ الْمَاءِ رُخْصَةٌ فِى اَوَّلِ اْلإِسْلاَمِ ، ثُمَّ نُهِيَ عَنْهَا.

“Pada lafaz Tirmizi: Mandi hanya kerana keluar air mani, itu hanyalah suatu keringanan pada permulaan Islam kemudian dilarangnya (dilarang dari mengamalkan amalan yang lama dan diperintahkan agar mandi junub)”.[8]


وَعَنْ عَائِشَةَ : اَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يُجَامِعُ اَهْلَهُ ، ثُمَّ يُكْسِلْ وَعَائِشَةُ جَالِسَةٌ فَقَالَ : رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِنِّيْ لأَفْعَلُ ذَلِكَ اَنَا وَهَذِهِ ثُمَّ نَغْتَسِلُ.

“Dari Aisyah bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya kemudian ia malas (untuk meneruskannya sebelum keluar mani) sedangkan Aisyah duduk di situ. Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya aku pernah melakukan seperti demikian dengan (Aisyah) ini lalu kami mandi (walaupun tidak keluar air mani)”.[9]


وَعَنْ رَافِعِ بْنِ خَدَيْجٍ قَالَ : نَادَانِيْ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّمَ ، وَاَنَا عَلَى بَطْنِ امْرَأَتِيْ ، فَقُمْتُ وَلَمْ أُنْزِلْ ، فَاغْتَسَلْتُ ، وَخَرَجْتُ فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ : لاَ عَلَيْكَ ، اَلْمَاءُ مِنَ الْمَاءِ . قَالَ رَافِعٌ : ثُمَّ أَمَرَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ بِالْغُسْلِ.

“Dari Rafi’ bin Khadej ia berkata: Aku pernah dipanggil oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam padahal aku sedang di atas perut isteriku. Lalu aku bangun dan aku belum mengeluarkan air mani kemudian aku mandi lalu keluar kemudian aku mengkhabarkan kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Kamu tidak wajib mandi kerana mandi itu lantaran keluarnya air mani. Rafi’ berkata: Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sesudah itu memerintahkan agar kami mandi”.[10]


Seorang suami yang menyetubuhi beberapa orang isterinya pada satu malam maka hanya diwajibkan sekali mandi sahaja. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

عَنْ أَنَسٍ اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوْفُ عَلَى نِسَائِهِ بِغُسْلٍ وَاحَدٍ.

“Dari Anas radiallahu anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri (menyetubuhi) isteri-isterinya dengan sekali mandi”.[11]


اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَطُوْفُ عَلَى نِسَائِهِ فِى لَيْلَةٍ بِغُسْلٍ وَاحِدٍ.

“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘aliaihi wa-sallam pernah mengelilingi isteri-isterinya pada satu malam dengan sekali mandi”.[12]


عَنْ اَبِيْ رَافِعٍ مَوْلَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَافَ عَلَى نِسَائِهِ فِى لَيْلَةٍ ، فَاغْتَسَلَ عِنْدَ كَلِّ امْرَأَةٍ مِنْهُنَّ غُسْلاً . فَقُلْتُ : يَا رَسُوْلُ اللهِ ، اَوِ اغْتَسَلْتَ غُسْلاً وَاحِدًا ؟ فَقَالَ : هَذَا أَطْهَرُ وَأَطْيَبُ.

“Dari Abi Rafi’ maula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam lalu ia mandi untuk setiap seorang dari mereka lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kalau engkau mandi sekali sahaja? Lalu ia menjawab: Begini adalah lebih suci dan lebih bersih”.[13]


Syariah berkata: Hadis ini menunjukkan, tidak wajib mandi bagi suami yang bermaksud mengulangi jimaknya[14] (ingin mengulangi persetubuhannya). Begitu juga isteri yang ingin diulangi (disetubuhi lagi) oleh suaminya maka isteri tidak diwajibkan mandi terlebih dahulu.




-----------------------------------------------------------------------------

[1] . H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad.
[2] . H/R Muslim dan Ahmad.
[3] . H/R Ibnu Syaibah.
[4] . Lihat: Nailul Autar. 1/190. Asy-Syaukani.
[5] . H/R Ahmad dan Muslim.
[6] . H/R Tirmizi dan disahihkan olehnya.
[7] . H/R Ahmad dan Abu Daud.
[8] . H/R Tirmizi dan disahihkannya.
[9] . H/R Muslim.
[10] . H/R Ahmad.
[11] . H/R Riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari.
[12] . H/R Ahmad dan Nasaii.
[13] . H/R Ahmad dan Abu Daud.
[14] . Lihat: Nailul Autar. 1/199.