Tuesday, April 15, 2008

06 - CARA ATAU SIFAT MANDI JUNUB RASULLULAH

CARA ATAU SIFAT MANDI JUNUB RASULULLAH


Adapun hadis-hadis tentang wajibnya mandi junub (mandi hadas) antaranya ialah:


عَنْ مَيْمُوْنَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : وَضَعْتُ للنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَاءً للْغُسْلِ مِنَ الْجَنَابَةِ ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ اَوْ ثَلاَثًا ، ثُمَّ اَفْرَغَ بِيَمِيْنِهِ عَلَى شِمَالِهِ ، فَغَسَلَ فَرْجَهُ وَمَا اَصَابَهُ مِنَ اْلأَذَى ، ثُمَّ مَسَحَ يَدَهُ بِاْلأَرْضِ مَرَّتَيْنِ اَوْ ثَلاَثًا ، ثُمَّ غَسَلَهَا ، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ ، وَغَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ وَغَسَلَ رَأْسَهُ ثَلاَثًا ، ثُمَّ اَفَاضَ عَلَى جَسَدِهِ ، ثُمَّ تَحَوَّلَ مِنْ مَكَانِهِ فَغَسَلَ قَدَمَيْهِ.

“Dari Maimunah radiallahu ‘anha ia berkata: Aku pernah menuangkan air untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untk mandi junub. Maka baginda memulakan dengan mencuci kedua tangannya dua kali atau tiga kali, kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci farajnya (kemaluannya) dan bahagian yang kena kotoran, setelah itu ia mengusapkan tangannya yang kiri ke tanah dua kali atau tiga kali lalu ia mencucinya. Kemudian baginda berkumur-kumur sambil menghisap (menyedut) air ke hidung lalu menghembuskannya kemudian ia mencuci mukanya dan kedua tangannya lalu ia mencuci kepalanya tiga kali, setelah itu barulah baginda menuangkan air ke seluruhan tubuhnya. Setelah selesai baginda pindah dari tempatnya lalu baginda mencuci kedua kakinya”.[1]


(1). Syariah berkata (ucapan): “Kemudian ia membasuh kedua kakinya”, ini menunjukkan bahawa wuduk yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam semasa memulakan mandi junub tanpa membasuh kedua kakinya.

(2). Jumhur ulama berpendapat: Sunnah mengakhirkan membasuh kedua kaki ketika berwuduk dalam mandi junub iaitu membasuh setelah selesai mandi junub.

(3). Imam Malik berpendapat: Apabila tempat mandi junub itu tidak bersih maka mengakhirkan membasuh kedua kaki itu adalah sunnah. Tetapi apabila tempat itu bersih maka mencuci dua kaki itu hendaklah didahulukan.

(4). Imam an-Nawawi berkata: Yang lebih benar dan lebih masyhur serta terpilih dari pendapat tersebut ialah menyempurnakan wuduknya.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا اَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ اِذَا اغْتَسِلَ مِنَ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يُفْرِغُ بِيَمِيْنِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ ، ثُمَّ يَتَوَضَّاُ كَمَا يَتَوَضَّأُ للصَّلاَةِ ، ثُمَّ يُدْخَلُ اَصَاَبِعَهُ فِى الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا اُصُوْلَ شَعْرِهِ ، حَتَّى اِذَا ظَنَّ اَنَّهُ قَدْ اَرْوَى بَشَرَتَهُ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَاْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيْضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ.

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub baginda memulakan mencuci kedua tangannya kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci kemaluannya. Kemudian baginda berwuduk sebagaimana waduknya untuk bersolat. Lalu baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air , lantas ia sela-sela pangkal-pangkal rambutnya dengan jari-jarinya itu, setelah ia merasakan telah basah rambutnya, ia tuangkan air ke atas kepalanya tiga kali cedukan dengan kedua tangannya kemudian ia alirkan air keseluruh tubuhnya”.[2]


عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذُ ثَلاَثَةَ أَكُفِّ وَيُفِيْضُهَا عَلَى رَاْسِهِ ثُمَّ يُفِيْضُ عَلَى سَائِرِ جَسَدَهِ.

“Dari Jabir radiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengambil air tiga kali cedukan dan baginda tuangkan ke atas kepalanya, kemudian baginda menuangkan air ke seluruh tubuhnya”.[3]


عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ دَعَا بِشَيْءٍ - نَحْوَ الْحِلاَبِ - فَأَخَذَ بِكَفِّهِ ، فَبَدَأَ بِشِقِّ رَأْسِهِ اْلأَيْمَنِ ، ثُمَّ اْلأَيْسَرِ ، ثُمَّ أَخَذَ بِكَفَّيْهِ فَقَالَ بِهِمَا عَلَى رَاْسِهِ.

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub, baginda meminta air dengan satu bejana besar lalu ia ambil air itu dengan tangannya, kemudian memulai pada bahagian kepala sebelah kanan, kemudian yang kiri, kemudian ia mengambil air dengan kedua telapak tangannya lalu ia tuangkan di atas kepalanya”.[4]


وَفَى رِوَايَةٍ : ثُمَّ يُخَلِّلُ بِيَدَيْهِ شَعْرَهُ ، حَتَّى اِذَا ظَنَّ اَنَّهُ أَرْوَى بَشَرَتَهُ أَفَاضَ عَلَيْهِ الْمَاءَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ.

“Diriwayat yang lain: Kemudian baginda menyela-nyela rambutnya dengan kedua tangannya sehingga apabila ia merasa telah basah seluruh kulit kepalanya, ia tuangkan air di atasnya tiga kali”.[5]


وَعَنْ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعَمٍ قَالَ : تَذَاكَرْنَا غُسْلَ الْجَنَابَةِ عِنْدَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : أَمَّا أنَا فَآخُذُ مِلْءَ كَفِّيْ فَأَصُبُّ عَلَى رَأْسِيْ ، ثُمَّ أُفِيْضُ بَعْدُ عَلَى سَائِرِ جَسَدِيْ.


“Dan dari Jubair bin Muth’am ia berkata: Kami pernah berbincang-bincang tentang mandi junub di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam lalu baginda bersabda: Adapun aku, cukup mengambil air sepenuh dua tapak tanganku lalu aku tuangkan di atas kepalaku, kemudian aku menyiram bakinya atas seluruh tubuhku”.[6]


عَنْ جُبَيْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : اَمَّا اَنَا ، فَأَفِيْضُ عَلَى رَاْسِيْ ثَلاَثًا ، وَاَشَارَ بِيَدَيْهِ كِلْتَيْهِمَا ، ثُمَّ اُفِيْضُ بَعْدَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِيْ.

“Dari Jubair radiallahu ‘anhu berkata: Adapun aku, menuangkan air ke atas kepalaku tiga kali (beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya).[7] Kemudian aku menyiram ke atas seluruh tubuhku”.[8]


Dari semua hadis-hadis tentang mandi junub yang telah lalu, dapat difahami dan diringkaskan bahawa sifat mandi junub Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:

1. Didahulukan dengan mencuci kedua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Ia dilakukan tiga kali.

2. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.

3. Setelah mencuci kemaluannya, Nabi sallallahu alaihi wa-sallam menggosok tangannya ke tanah beberapa kali iaitu dua atau tiga kali.

4. Berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Ada kalanya mentakhirkan dari mencuci kakinya.

5. Memasukkan jari-jemari ke dalam air kemudian menyela-nyela rambut dengan kedua-dua jari-jemari tangan sehingga rata.

6. Menuangkan air ke atas kepala tiga kali, sama ada dengan menceduk dengan kedua tangan atau dengan gayung.

7. Menjirus, meratakan dan membasuh ke seluruh tubuh badan.

8. Selepas mandi tidak diwajibkan berwuduk semula jika wuduk sebelum mandi tidak batal tetapi jika sekiranya batal maka wajib memperbaharui wuduknya semula.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَتَوَضَّاُ بَعْدَ الْغُسْلِ.

“Dari Aisyah radiallahu anha: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berwuduk setelah selesai mandi junub”.[9]


Sesungguhnya diwajibkan mandi junub (mandi hadis) hanya apabila keluar mani dengan bersyahwat (lazat/nikmat). Apabila terkeluar dengan tidak bersyahwat seperti kerana penyakit atau terlalu kesejukan maka tidak diwajibkan mandi junub.[10]


---------------------------------------------------------------------


[1] . H/R Bukhari,. Kitabul Ghusul. Muslim. 1/175. Abu Daud. No 245. Turmizi, Nasaii, Ibnu Majah dan Ahmad.
[2] . H/R Bukhari. 1/68. Muslim. 1/174. Abu Daud. 242. Ibn Majah 574.
[3] . H/R Bukhari. 1/69. Kitab al-Ghusul.
[4] . H/R Bukhari dan Muslim.
[5] > H/R Bukhari dan Muslim.
[6] . H/R Ahmad.
[7] . H/R Bukhari. 1/69.
[8] . H/R Ahmad.
[9] . H/R Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud. 1/171. Turmizi. 1/72.
[10] . Lihat: Nailul Autar. 1/187. Asy-Syaukani.